Monday, 11 August 2014

Definisi Kesantunan Menurut Tokoh



Assalammualaikum dan salam 1Malaysia. Bersempena dengan tajuk kursus yang kami pelajari iaitu Kesantunan Bahasa di bawah bimbingan Pn. Norhayati (Umi), kami akan menghuraikan secara ringkas definisi kesantunan mengikut pandangan beberapa orang tokoh. Antaranya:

1.  Menurut Asmah Haji Omar (2000):
  • Kesantunan mengikut perspektif Melayu ialah penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pendengar.
  • Kesantunan masyarakat Melayu berdasarkan agama Islam dan adat Melayu
  • Orang Melayu sangat mementingkan kesantunan dalam hubungan masyarakat
  • Bahasa halus dan tersirat selalu digunakan supaya tidak mengecil hati orang lain.

2.  Menurut Leech (1983),  beliau telah menginterpretasikan kesantunan sebagai perlakuan yang dapat mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi.
  • Bahasa mesti halus
  • Beradab sopan
  • Perlakuan lemah-lembut
  • Berbudi pekerti

3. Menurut J. Ferguson dan Das Gupta (1968) pula, menyatakan kesantunan itu berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar sebagai usaha mengekalkan komunikasi yang harmoni tanpa menimbulkan sebarang konflik.
  • Wujud persetujuan bersama dalam masyarakat
  • Mewujudkan etika dan peraturan bermasyarakat
  •  Biasanya mengamalkan budaya yang sama
  • Ingin melahirkan masyarakat yang harmoni dan aman

4.  Menurut Hamka (1995):
  •  Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya.
  •  Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.
  •  Bertambah kuat kepercayaan kepada agama, bertambah tinggi darjatnya di dalam pergaulan hidup, dan bertambah naik tingkahlaku dan akal budinya.

5.  Menurut Aristotle
  •  Yang meninggikan darjat seseorang ialah akal dan adabnya, bukan asal keturunannya.
  •  Adab dan sopan itu lebih penting daripada makan dan minum.

6.  Menurut Khalifah Abdul Malik Marwan, "semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan orang lain ketika berdaya membalas, dan bersikap adil ketika kuat."

7.  Menurut Confucius,  kesantunan merupakan konsep yang digunakan. Dalam konsep ini, terdapat beberapa sifat yang disarankan supaya dimiliki oleh manusia iaitu:
  • Ketaatan kepada ibu bapa
  • Kasih sayang
  • Menghormati orang lain
  • Patuh
  • Sopan santun
  • Melakukan kebajikan
8. Menurut Brown dan Levinson (1987):
  • Kesantunan merupakan usaha untuk mengurangkan Tindakan Ancaman Muka (TAM) kepada pendengar.
  • Bagi mereka, manusia mempunyai kehendak muka yang terbahagi kepada dua, iaitu muka    positif dan muka negatif yang merupakan kehendak masyarakat sejagat.
  • Oleh itu, memilih strategi kesantunan adalah penting bagi mengurangkan ancaman terhadap muka pendengar.

9. Menurut Watts et. al (1992) :
  • Kesantunan merupakan tingkah laku yang digunakan untuk mengekalkan keseimbangan hubungan sosial dan interpersonal manusia.
  • Walau bagaimanapun, Watts menyempitkan konsep kesantunan menjadi istilah yang lebih terperinci, iaitu konsep Perlakuan Politik Verbal.

10. Menurut Bayraktaroglu (1997):
  • Kesantunan merupakan kelakuan yang diamalkan bagi membina persefahaman untuk mengelakkan ancaman serta ketegangan yang boleh menyebabkan hubungan sesama manusia menjadi renggang.
Sekian, kami berhenti setakat ini dahulu. Nantikan kedatangan kami yang seterusnya!. Sekiranya anda mempunyai sebarang cadangan mahu pun penambahbaikan, anda dialu-alukan untuk menulis komen anda di ruangan khas.
Sebelum mengundur diri, sudilah terima serangkap pantun. Kalau ingin dibalas pantun ini, amatlah kami hargainya.
Kuning emas masaknya padi,
Bunga mawar dalam jambangan;
Terima kasih sekalung budi,
Budi baik sentiasa dikenang.

Temuramah bersama En. Adnan Endut
Salam Bahasa Jiwa Bangsa ;) 

1 comment :

Mini Rage Face Blush Smiley