Awang Sariyan (2007) mendefinisikan kesantunan
bahasa sebagai penggunaan bahasa yang baik, beradab sopan, menzahirkan tingkah
laku mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman
perbualannya. Siti Hajar Abdul Aziz (2009) dalam bukunya Bahasa Melayu II pula
menjelaskan bahawa kesantunan bahasa merupakan kaedah penggunaan kata dan
ujaran secara sopan dan beradab. Secara keseluruhannya, kesantunan bahasa
adalah tatacara atau peraturan yang terdapat dalam elemen berbahasa.
Kesantunan bahasa dapat dilihat dalam perbualan
antara individu yang berkomunikasi. Elemen tatabahasa atau tatacara berbahasa mestilah
sesuai dengan norma-norma budaya sesuatu masyarakat yang menggunakan bahasa. Semua
bangsa di dunia amat menekankan kesantunan bahasa dalam pergaulan mereka terutama bangsa Melayu. Norma-norma
budaya sesuatu bangsa sering dipengaruhi oleh kesantunan bahasa sesuatu
masyarakat. Agama Islam selalu dikaitkan dengan budaya kesantunan masyarakat
Melayu. Setiap masyarakat di dunia ini mempunyai norma dan nilai kesantunan
bahasa yang berlainan.
Kepelbagaian etnik yang terdapat di Malaysia tidak
dapat lari daripada mengalami pertembungan budaya. Konsep perkahwinan campur
bukanlah pengamalan yang baharu berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia,
malah sudah menjadi suatu budaya dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa,
kepercayaan dan agama. Pelbagai ragam dan bentuk komunikasi antara masyarakat
yang terlibat hasil daripada pertembungan budaya ini. Hal ini akan menyebabkan wujudnya
persoalan kesan daripada tahap penyesuaian diri terhadap budaya dan bahasa yang
digunakan. Berpaksikan pada konteks pertembungan budaya, banyak perkara dan benda
yang menarik untuk dibincangkan dan direnungkan bersama.
Sejarah telah membuktikan bahawa kedatangan kaum
India dan Cina ke negara kita Malaysia, mereka asalnya dibawa ke Malaysia hanya
untuk bekerja sebagai buruh di sektor-sektor perladangan getah dan
perindustrian bijih timah. Kedatangan mereka ke Tanah Melayu dan bercampur gaul
dengan masyarakat tempatan telah menimbulkan satu pertembungan budaya. Malah
ada dalam kalangan mereka yang bertandang telah berkahwin dengan orang Melayu
dan terus menjalani kehidupan sebagai sebahagian daripada orang Melayu, maka
daripada konteks inilah wujudnya kaum Cina Baba seperti yang terdapat di Melaka
dan Pulau Pinang dan kaum Mamak bagi orang India.
Bagi mereka
yang mengahwini masyarakat tempatan iaitu bangsa Melayu akan tetap beragama
Islam, sebaliknya bagi mereka yang kekal dengan kepercayaan masing-masing dan
mendirikan rumahtangga dengan orang yang sebangsa dan seagama pula telah
melahirkan generasi India dan Cina baharu yang mendapat hak kerakyatan Malaysia
Melalui pertembungan budaya dalam konteks
perkahwinan campur, pasangan pengantin yang berlainan bangsa turut mempengaruhi
kesantunan berbahasa dalam pergaulan. Misalnya,
kesantunan bahasa yang digunakan oleh keluarga India yang bercampur
dengan orang Melayu ialah seperti berikut:
a)
bahasa sapaan/panggilan
-mereka juga mempunyai sistem sapaan yang
tersendiri, jika dalam golongan keluarga yang lebih tua lelaki akan dipanggil mama
termasuklah abang ipar, bapa saudara, bapa mertua, datuk akan dipanggil tata,
-manakala
abang akan dipanggil ane dan hanya untuk adik beradik saja,
dan adik lelaki dipanggil thambi (boleh digunakan untuk lelaki
yang bukan adik beradik).
-Bagi
kaum perempuan, ibu mertua dipanggil mami, nenek pula dipanggil pati atau amama, kakak digelar akka,
adik perempuan dipanggil tangachi.
-Penggunaan
sistem panggilan tersebut telah diaplikasikan ketika berbahasa dengan
menggunakan bahasa Melayu. Contohya, ketika berkomunikasi dengan anak-anak,
mereka akan menggunakan bahasa MeIayu seperti berikut “pergi main luar sama
akka ", "minta angpau sama
tata", "pergi makan dengan mama".
b)
Bahasa basahan.
-disebabkan
perbezaan bahasa yang digunakan dalam komunikasi, sebahagian penggunaan bahasa
akan diselitkan dengan bahasa Inggeris kerana faktor keutamaan keluarga sebelah
pihak tertentu.
-Bahasa
yang digunakan bersifat “bahasa pasar”, seperti ayah mertua akan menggunakan
ganti nama lu apabila berkomunikasi dengan menantu yang berbangsa Melayu,
misalnya "Pergi tengok apa anak lu buat dalam bilik".
-Tetapi
apabila berinteraksi dengan keluarga yang lebih berpendidikan, berlaku
perubahan kod iaitu penggunaan bahasa Melayu mereka lebih beradab, sopan dan
teratur yang dicampur aduk sedikit dengan bahasa Inggeris, terutama dalarn penggunaan
ganti nama diri. Misalnya dalam ayat berikut "You cuba fikir, bagaimana
anak saya yang pandai bahasa Inggeris boleh dapat B saja? Apa silapnya?
Ayat apa silapnya merupakan peralihan daripada what's wrong?
Bahasa
Melayu yang digunakan oleh orang India dalam sesuatu acara bahasa Melayu akan menjadi mereka
seakan-akan kaku, maksudnya ayat yang digunakan akan kelihatan seperti ayat
yang disusun dengan rapi dan perlahan-lahan, bukan seperti bangsa Melayu yang
berbual dengan penuh sopan dan bersahaja. Namun, hal ini tidak akan menjejaskan
aspek kesantunan dalam berbahasa kerana matlamat berkomunikasi sentiasa sama
supaya komunikasi yang berkesan dapat dicapai.
Konklusinya, setiap agama dan bangsa
menuntut penganut dan pengamalnya melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan.
Namun, cara dan amalan sahaja yang berlainan antara sesuatu bangsa dengan
bangsa yang lain. Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum terdiri daripada
gabungan bangsa peribumi seperti Melayu, Kadazan, Murut, Bajau, Jawa dan bangsa
yang asing seperti Cina, India, Serani, Portugis, Benggali dan sebagainya menganut
pelbagai agama berdasarkan kepercayaan masing-masing. Masyarakat Cina misalnya,
ada yang beragama Kristian, ada juga yang beragama Buddha, begitu juga dengan
orang India yang beragama Hindu atau Kristian. Setiap masyarakat yang beragama
ini mempunyai nilai dan norma tersendiri dalam kebudayaan masing-masing yang
diwarisi daripada nenek moyang mereka, yang sedikit demi sedikit diubah suai
dan diadaptasi sesuai dengan perkembangan masa dan zaman.
0 comments :
Post a Comment