Konsep raja atau kerajaan yang wujud dalam masyarakat di negara sebelah sini berasal daripada India, wujud setelah bangsa Melayu purba menerima pengaruh Hindu. Maka, ketua bergelar raja dengan penasihat yang bergelar bendahara atau perdana menteri. Begitu juga upacara pertabalan diraja pada masa dahulu yang dikelolakan oleh Brahmin, tetapi telah disesuaikan selepasa kemasukan Islam dan Barat.
Dalam istiadat pertabalan raja, banyak upacara mengandungi pengaruh peradaban Hindu. Misalnya, di Perak terdapat upacara membisikkan sesuatu sewaktu pertabalan raja ke telinga bakal raja dan pacara membaca Ciri (dalam bahasa Sanskrit) yang tidak difahami malah oleh pembacanya sendiri.
Selain itu, adat lain termasuk upacara membersih dosa dengan adat bersiram dan tolak bala. Dalam istiadat pertabalan raja, seseorang raja terlebih dahulu bersiram, dipakaikan perhiasan kerajaan di tangan, leher, kepala,kaki dan lain-lain lagi.
Adat istiadat dan upacara boleh dikatakan tatacara yang paling banyak dan kuat mempengaruhi masyarakat Melayu, baik raja mahupun rakyat. Seseorang anak sejak dalam kandungan lagi mesti menjalani adat Hindu yang menunjukkan terdapat unsur rites de passage atau adat yang dikenakan ke atas seseorang individu semasa mencapai peringkat umur tertentu.
Walau bagaimanapun, adata istiadat dan upacara tersebut telah mengalami perubahan dan penyesuaian khasnya selepas kedatangan Islam. Namun, terdapat pengecualian dalam kalangan yang berkepentingan, beberapa ciri adat tertentu telah sebati selepas disesuaikan oleh orang Melayu dengan kehendak mereka.
Merujuk perkara di atas, kita dapat simpulkan bahawa kesantunan orang Melayu menerima sesuatu perubahan budaya sedikit sebanyak telah diasimilasikan dalam kehidupan. Mereka telah berjaya mengaplikasikan perubahan tersebut mengikut syarak setelah kedatangan Islam daripada golongan ulama’ dari Arab.
0 comments :
Post a Comment